SELAMAT DATANG

BLOG PPKIBP SK GONG BAYOR

Ahad, 9 Mei 2010

Petikan Berita Keistimewaan pemegang kad OKU

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mempergiatkan usaha untuk mendaftarkan orang kurang upaya (OKU) supaya mereka boleh memperoleh Kad Kenal Diri OKU.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Zainab Nasir berkata, sejak pendaftaran OKU dilaksanakan sehingga Ogos tahun ini, seramai 11,636 orang OKU telah mendaftar dengan JKM negeri ini.

''Kesemua mereka telah pun memperoleh Kad Kenal Diri OKU di mana mereka menerima pelbagai nikmat dan kemudahan sebagai OKU," kata beliau di sini hari ini.

Namun begitu kata Zainab, bagi ibu bapa mahupun penjaga yang belum mendaftarkan anak OKU, pihaknya meminta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Penghulu dan orang perseorangan supaya bertindak segera.

''JKM telah pun mengadakan kempen dari semasa ke semasa bagi tujuan pendaftaran OKU dan menyedarkan masyarakat terhadap keistimewaan pemegang Kad Kenal Diri OKU ini.

''Kita mahu supaya anak-anak mereka mendapat pelbagai kemudahan dan bantuan yang boleh diperoleh agar golongan OKU ini tidak tercicir dalam kepesatan pembangunan negara serta dapat hidup dan merasai segala kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan," kata Zainab.

Mengikut maklumat yang diperoleh dari JKM dalam agenda pemulihan, perkhidmatan dan pembangunan OKU, terdapat beberapa kategori Kad Kenal Diri OKU ini di mana mengikut kecacatan dan keperluan.

Bagi pemegang Kad Kenal Diri OKU berwarna biru ia merujuk kepada mereka yang bermasalah penglihatan, warna ungu pula bagi masalah pendengaran, hijau untuk kecacatan fizikal, merah untuk aspek cerebral palsy (kecacatan otak/spastik), kuning untuk tujuan masalah pembelajaran dan oren bagi kes lain-lain kecacatan.

Kemudahan

Antara keistimewaan yang disediakan untuk pemegang Kad Kenal Diri OKU ini termasuklah kejohanan sukan sendiri (paralimpik), kegiatan kesenian dan kebudayaan, kemudahan pendidikan, kemudahan akses bangunan awam, kemudahan dan galakan pelepasan cukai.

Lain-lain adalah kemudahan pengangkutan awam, pengecualian bayaran perubatan, pengecualian bayaran dokumen perjalanan, kemudahan peluang pekerjaan, kemudahan membeli kereta dan motor nasional, pencen terbitan, kemudahan membeli alat ganti OKU, kemudahan Telekom dan sebagainya.

''Adalah wajar kepada golongan OKU supaya ibu bapa, mahupun penjaga segera mendaftarkan anak mereka untuk diberikan Kad Kenal Diri OKU supaya program pemulihan dan pembangunan mereka dapat diselaraskan sebaik mungkin," kata Zainab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan